Sunday, August 31, 2008

KEHIDUPAN : MERDEKAKAH KITA


Adakah kita ini benar-benar sudah merdeka dalam erti kata yang sebenar?Merdeka dari sifat yang buruk, merdeka dari segala bentuk kehidupan yang takut dan merdeka dari segala kebimbangan yang akan melanda generasi yang akan datang. Apakah merdeka itu hanya cukup diraikan dengan perarakan dan tembakan bunga api yang dianggap membazir dengan membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk satu malam atau satu hari sahaja, sedangkan ada golongan yang masih susah dari segi kehidupan dan asas-asas hidup yang duduk dihujung-hujung kampung yang bergelut dengan kehidupan yang semakin hari semakin tinggi kos sara hidup.


Apakah ini satu bala atau ujian dari Allah SWT, negara yang ada minyak sendiri tetapi terpaksa membayar harga petrol yang tinggi, negara yang mampu untuk mengeluarkan makanan sendiri tetapi masih mengharapkan pengimpotan dari luar untuk menampung kehidupan rakyat negara ini. Sawah padi yang terbentang tetapi masih mengalami masaalah kenaikan harga beras yang melampau, negara yang memiliki tanah yang subur tetapi terbiar kerana tiada orang yang sanggup untuk mengusahakannya.


Kita berbangga kerana telah berjaya menjadikan negara ini dari asas pertanian kepada negara yang berasaskan perindustrian tetapi malangnya kita lupa bahawa satu masa nanti dunia akan mengalami satu krisis makanan yang runcing, akibatnya kita terpaksa mengimpot makanan bagi menampung kekurangan bahkan terpaksa bersaing untuk mendapatkan bekalan yang terhad dengan membayar harga yang tinggi. Padahal kita mampu untuk menjana makanan sendiri. Dimana silap kita?


Kita tidak dapat menafikan, bahawa perkembangan industri membantu menjana ekonomi Malaysia yang kita cintai tetapi persaingan mula terasa apabila negara-negara disekeliling kita mula bangun dengan menawarkan tenaga buruh yang lebih murah dan kompetitif. Berlumba lumbalah pengusaha mengecilkan saiz perlaburan dengan alasan rugi atau tidak menguntungkan, dengan alasan inilah mereka menutup industri mereka dan pindah ketempat yang boleh menawarkan insentif yang lebih baik, padahal keuntungan dan insentif yang diberi telah dikaut,modal yang telah dilaburkan telah dapat diambil semula. Industri yang masih tinggal pula lebih mengutamakan pekerja asing kerana kos yang rendah dan tidak perlu menanggung segala perbelanjaan yang tinggi dalam mengajikan orang tempatan.


Apakah kita akan mengemis ditanah air sendiri sedangkan kita dikurniakan sebuah negara yang memiliki segala sumber alam yang mewah berbanding dengan negara-negara jiran. Kemana perginya hasil negara ini dan kemanakah telah ia dibelanjakan. Apakah orang yang diamanahkan untuk mentadbirkan negara ini tidak jujur atau mengaut keuntungan sesama meraka. Kita lihat jurang kekayaan dan kemiskinan jika tidak dibendung dengan secara aktif maka kita akan lihat satu perbezaan yang sangat jauh.


Sepatutnya segala keuntungan dan kemewahan hasil negara harus dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk kemudahan percuma untuk kesihatan dan pendidikan dari rendah hinggalah kepada peringkat pengajian tinggi. Kemudahan asas hidup seperti rumah dan makanan dapat dinikmati dengan harga yang patut dan mampu serta kualiti hidup bertambah dan kes-kes jenayah yang rendah.


Esok Insyaallah kita akan menjalani ibadat puasa dimana satu bulan untuk kita menginsafkan diri serta merenungkan apakah kita telah menunaikan tanggungjawab kita sebagai orang Islam. Semoga ibadah puasa yang dijalankan akan mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah SWT dan menjadi mangkin untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

1 comment:

Unknown said...

mudah-mudahan di berkati...