Thursday, August 14, 2008

KEHIDUPAN : MELATAH


Sejak kebelakangan ini banyak isu-isu sensitif telah timbul atau sengaja ditimbulkan untuk mengugat kestabilan dalam negara yang terdiri dari penduduk yang berbilang bangsa. Adakah ini ditimbulkan oleh rakyat atau sengaja ditimbulkan oleh orang-orang yang mempunyai kepentingan diri dari pihak pemerintah mahupun dari pihak pembangkang. Masing-masing cuba menjadi wira rakyat, sedangkan perbuatan mereka ini, sedar atau tidak sedar mengelirukan rakyat kebanyakannya. Malangnya yang melatah itu adalah dari bangsa Melayu dan lebih malangnya lagi isu itu juga dilatahkan oleh orang Melayu sendiri. Mengapa jadi begini dan dimanakah letaknya waras pemikiran orang Melayu.?


Sifat melatah telah wujud dalam budaya Melayu sejak zaman kezaman dan kerana terlalu melatahlah orang Melayu ini mudah dijajah. Apabila kita melihat sejarah betapa mudahnya orang melayu ini dijajah oleh pihak asing sejak zaman Kerajaan Melaka. Satu demi satu bangsa datang menjajah Tanah Melayu yang mana lipatan sejarah tersebut pastinya tidak terpadam dari buku sejarah. Apakah kita tidak mengambil iktibar dari sejarah tersebut. Jangan lupa pada sejarah kerana kita takuti sejarah akan berulang dan kita akan diajar oleh sejarah itu sendiri.


Dalam isu yang telah timbul baru-baru ini yang melibatkan agama dan bangsa Melayu, mudahnya kita melatah padahal kita tidak pula melihat dan meneliti isu itu dalam satu kontek yang lebih waras. Kita seharusnya mempunyai satu sifat yang terbuka tetapi tegas dalam menerima pandangan orang lain sebelum mengambil satu-satu tindakan. Sekiranya cadangan dan pandangan itu memang bertentangan dengan kepentingan bangsa Melayu dan Agama maka sebaik-baiknya duduk dan berbincang dengan orang yang mahir dalam undang-undang dunia mahupun undang-undang agama syariah.


zaman telah berubah dan pemikiran manusia semakin berkembang, jangan biarkan diri kita ini di kuasai oleh emosi yang tidak berasas. Nyatakan ketegasan baik yang melibatkan bangsa dan agama dalam satu-satu pekara. Islam itu lembut tetapi tegas dalam urusan masuk ataupun keluar dari Islam. Tidak ada paksaan dalam memeluk agama Islam. Agama Islam pula bukan alat untuk kepentingan diri dalam erti kata lain suka-suka masuk dan suka-suka keluar sebab itu Islam meletakan hukuman yang berat dalam soal murtad kerana Islam menganggap orang murtad itu satu barah yang merbahaya yang boleh merosakan orang lain.


Wahai bangsa ku Melayu yang beragama Islam jangan mudah melatah dan jangan biarkan diri ini diperalatkan untuk kepentingan orang lain kerana tindak tanduk kita akan membawa kebinasaan dan ditakuti serta dikhuwatiri menjadi cacian generasi yang akan datang.


No comments: