Saturday, August 2, 2008

KEHIDUPAN : ANAK


Berapa anak sekarang? Itulah perkataan yang sering ditanya setiap kali bertemu dengan kawan-kawan lama, Bahkan kerap kali kita mendengar perpatah yang menyatakan bahawa anak itu merupakan satu harta. Persoalannya adakah ia merupakan satu harta yang bermanafaat atau satu harta yang berbentuk bebanan kepada kedua orang tuanya. Tidak semua orang bernasib baik kerana ada anak-anak yang berjaya hidupnya ,manakala ada pula yang menjadi satu bebanan atau tanggungan yang berat ankara tingkahlaku anak-anak.





Kerap juga kita dipersalahkan apabila anak-anak tidak berjaya dalam hidup mereka atau kita dipandang rendah oleh masyarakat kerana tidak berjaya mendidik anak menjadi seorang manusia. Ada juga yang menyalahkan kerajaan kerana membiarkan anasir-anasir yang berunsur kepada kerosakan moral berleluasa, begitu mudah kita menuding jari tetapi pernahkah kita melihat kesilapan yang kita lakukan.





Pendidikan bermula dari rumah, kita merupakan cermin kepada anak-anak. Apabila anak-anak membesar dipersekitaran yang terujudnya kasih sayang antara suami isteri, ia juga akan mempengaruhi hidupnya. Kekayaan dan memiliki sumber material keduniaan belum pasti membawa kepada kejayaan dari segi akhlak. Mahu tidak mahu kita terpaksa akur bahawa Agamalah segala-galanya.





Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Saw kita bahawa anak-anak merupakan kain putih maka kitalah yang mencorakkannya samada yahudi ataupun nasara. Begitu mudah kita membicarakannya, hakikatnya ia merupakan satu ujian dari Allah Swt mengikut tahap iman yang ada didalam diri kita ini. Kadang-kadang kita perlu menyuluh diri kita dahulu sebelum kita melihat anak-anak kita dan sentiasa berdoa agar apa kesilapan yang pernah kita lakukan tidak berulang kepada anak-anak kita.





Godaan dunia yang kita hadapi dahulu tidak sama dengan godaan dunia masa kini, ibu-ibu tidak berkerja ditambah pula dengan kehadiran datuk dan nenek yang tinggal bersama secara tidak langsung pengaruh luar agak sukar menyelinak kedalam rumah kerana ada mata-mata yang sentiasa memerhati tingkahlaku anak-anak pada masa itu. kini, keadaan telah berubah akibat dari kedesakan sistem ekonomi yang sentiasa mendesak kepada sistem materialistik yang semuanya perlu kepada wang. Akibatnya semua ibu-ibu juga terpaksa keluar mencari rezeki bagi menampung peningkatan kos sara hidup yang tinggi.





Natijahnya, anak-anak ditinggalkan sendirian untuk mengurus soal hidup mereka dan pengaruh luar juga berjaya masuk kedalam rumah tanpa batasan ditambah pula dengan sistem maklumat yang canggih. Maka godaan diluar dan didalam juga sungguh dahsyat. Kita tidak mampu untuk menepis, senjata yang ada hanyalah doa serta disiplin diri yang tinggi berpandukan kepada Agama yang dihayati. Kadang-kadang itu juga tercundang.





Oleh itu sebelum menyalahkan anak-anak suluhlah diri kita dahulu. Anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan karier hidup belum pasti tinggi nilai akhlaknya, yang pastinya akhlak yang tinggi nilainya serta beragama walaupun tidak berkedudukan tinggi pasti akan selamat dalam hidupnya.

1 comment:

Unknown said...

Jadi kenalah banyak-banyak bersabar dengan baby yang lasak tu....