Tuesday, September 30, 2008

KEHIDUPAN : HARI RAYA AIDIL FITRI

Besok merupakan Hari Raya bagi orang-orang muslim seluruh dunia. Setelah sebulan berpuasa maka tibalah masanya untuk kita merayakan hari yang mulia dimana Allah mengharamkan berpuasa pada hari tersebut. Apabila mengenangkan kembali bagaimana arwah ibu saya akan begitu sibuk menyediakan juadah dan lauk pauk untuk persediaan hari yang mulia itu. Inilah masanya keluarga akan berkumpul sambil bergelak ketawa dan diiringi dengan gelagat anak-anak dan cucu-cucu yang berlari sambil bermain bunga api dihalaman rumah yang luas.
Anak-anak perempuan akan diberi tugas untuk mengemas rumah manakala anak-anak lelaki pula dan menantu sibuk dibelakang sambil mengacau rendang dan menjaga api agar lemang masak dengan eloknya. pada malam itu kami akan bersembang sampai pukul tiga empat pagi kerana begitu banyak cerita yang ingin diceritakan kerana inilah masanya semua keluarga dapat berkumpul dengan serentak.
Akan kelihatan ayah dan ibu akan sibuk dengan persediaan tempat mengadap ketua adat yang merupakan satu tempat dimana anak-anak buah ayah akan datang untuk mengadap pada Hari Raya nanti. Alat alat kebesaran akan digantung dan tidak sesiapa pun dibenarkan untuk duduk ditempat tersebut hatta anak-anak cucu sekalipun. Begitulah kuatnya ayah menjaga adat yang diamanahkan kepada beliau.
Kini hanya tinggal kenangan setelah permergian ibu menyambut seruan illahi. Rumah yang besar ditinggalkan kosong dan tidak berpenghuni. Kemeriahan Hari Raya mula menghilang dan keluarga tidak berkumpul seperti selalu kerana masing-masing telahpun mempunyai anak menantu sendiri. Walau pun begitu Rumah pusaka peninggalan arwah ibu tetap ceria sekali sekala apabila ada peluang untuk berkumpul semula ahli keluarga.
Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang Mulia ini saya dan keluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada semua pembaca , maaf zahir batin.

1 comment:

Unknown said...

makes me teringat arwah ayah...