Saturday, October 4, 2008

KEHIDUPAN : KUIH LAMA.

Kuih Maruku, kuih tradisi orang India dan menjadi satu juadah di hari raya. Kegemaran arwah ibu. Oleh kerana ianya juga merupakan kegemaran ayah maka setiap kali arwah menbuatnya tugas ayah ialah menekan dari acuan kedalam kuali yang berisi minyak panas. Digoreng garing berserta dengan daun kari untuk mendapatkan aroma yang istimewa.

Rempeyak kacang hijau, kuih yang wajib setiap kali hari raya. Tepung yang ditabur dengan kacang hijau. Ini juga merupakan kuih kegemaran ayah maka ayahlah pembantu ibu. Tolong goreng dan masukan dalam tin biskut. Sambil goreng sambil makan.


Biskut Makmur, agak moden sedikit. Tidak tahan bau minyak sapi.


Biskut Tat Nenas, kuih dibuat semasa kakak telah meningkat dewasa. Ketika itu ibu sudah mula kurang kedapur untuk membuat biskut raya. Dua orang kakak saya Noraini dan Norainon yang membuat semua kuih moden ini. Jam nenas dibuat sendiri. Tidak tahan lama dan mudah berkulat kerana biskutnya agak lembab.

Kuih Semperit kuih kegemaran arwah ibu, pembantu tetap arwah ibu yang rajin menolong ialah abang saya Abd. Wahab. Orang harapan ibu setiap kali menjelang hari raya. Pada masa itu kakak-kakak saya masih kecil .




Kuih Sepit, asalnya adalah kuih tradisi orang cina. Yang tidak tahan nya buat kuih ini kena duduk depan api yang kecil dan berjam-jam nak habiskan tepung yang dibancuh dengan santan. Ranggup dan lemak . Bermula dari sahur sampailah kepetang nak dapatkan satu tin biskut besar.





Kuih Putu Kacang kegemaran saya sekeluarga. Arwah ibu pasti buat kerana ramai yang memuji lembut dan ranggup. Kalau tidak pandai buat keras dan berderai. Dua minggu nak raya arwah ibu pasti jemur kacang hijau dan gula kemudian dihantar untuk dimesinkan agar menjadi tepung. Diadun kemudian ditekapkan didalam acuan kayu yang khas untuk putu. Sebaik siap ianya dijemur tengah panas selama beberapa hari . Yang tidak tahan kena tunggu agar tidak dimakan oleh burung.





Kuih Bahulu yang mengunakan telur itik sebagai bahan utama. Dipukul hingga kembang kemudian dicampur tepung dan gula. Dibakar diatas bara api sabut kelapa diatas dan dibawah. Acuan yang diperbuat dari tembaga.





Kuih Gunting, kuih yang paling leka makannya. Ranggup dan sedap semasa menonton tv. Lebih sedap dicampurkan dengan udang kering. Dipotong halus kemudian digoreng dengan minyak yang banyak.



No comments: