Tuesday, February 24, 2009

KEHIDUPAN : PROSES ALAM KANAK-KANAK



Kadang-kadang terkenang juga masa silam dialam kanak-kanak. Riang, bermain, gelak ketawa tanpa menghirau apa yang berlaku disekeliling. Selepas puas bermain, balik kerumah makan dan tidur tanpa risau untuk memikirkan apa yang harus dibuat untuk keesokan harinya. Tanpa menghiraukan apakah makanan akan ada pada esok harinya. Tanpa perlu risau samada esok ada wang atau tidak. Yang pastinya apabila balik kerumah, makanan telah tersedia diatas meja dan lauk pauk tidak menjadi masaalah asalkan ada makan sudah memadai. Untuk mengomel samada lauk pauk itu sedap atau tidak jauh sekali kerana yang penting perut harus berisi.

Apabila meningkat dewasa, akal mula menjadi matang, keinginan untuk berkawan dengan perempuan walaupun tidak ujudnya perasaan tetapi timbul dengan semulajadinya. Naluri untuk berteman tetapi tidak faham apa itu cinta. Yang ujud hanyalah perasaan untuk berkawan dan dibuat teman untuk bermain masak-masak. Tetapi yang peliknya tahu pula untuk memilih siapa yang harus menjadi ayah, emak dan anak. Apabila bermain siayah akan berlagak untuk bekerja, manakala yang menjadi ibu pula akan berlagak untuk membuat kerja rumah dan yang menjadi sianak pula akan menjadi seperti anak-anak kecil yang manja. Disinilah proses untuk belajar menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab.

Apabila saya amati kesemua itu membuatkan saya tersenyum sendirian dan barulah saya faham bahawa dialam kanak-kanaklah dimana proses pembelajaran dapat membentuk siapa kita apabila kita dewasa kelak. Contohnya mereka yang bermain masak-masak ketika waktu kanak-kanak menampakan sifat yang bertanggungjawab apabila berumahtangga baik lelaki mahupun yang perempuan. Manakala mereka yang menjalani kehidupan zaman kanak-kanak yang agak terkongkong dan terlalu ditekankan disiplin kebanyakannya mengalami tekanan jiwa apabila menjadi dewasa kerana tidak dapat menyesuaikan diri walaupun kebanyakan mereka ini terdiri dari mereka yang berpendidikan tinggi.

Kesimpulanya, semua ibubapa mahukan anak-anak mereka berjaya dan sanggup mengorbankan zaman kanak-kanak anak-anak mereka semata-mata untuk memastikan mereka sentiasa berada dirumah untuk belajar dan aktiviti yang telah diatur sehingga lupa bahawa anak-anak ini perlu berkawan dan bermain. Natijahnya apabila mereka ini terlepas dari kongkongan ibubapa mereka akan menjadi bebas dan mula untuk mencari sesuatu yang hilang dialam kanak-kanak mereka. Terserahlah samada mereka ini berkawan dengan yang baik atau yang jahat. Tidak hairanlah kanak-kanak yang kita anggap pendiam dan tidak bergaul kerana kongkongan ibubapa tetapi sebenarnya mempunyai sifat memberontak.

No comments: