Thursday, February 26, 2009

KEHIDUPAN : JIRAN TIONGHUA KU



Apabila saya merenung kembali kisah silam, membuatkan saya tersenyum sendirian mengenangkan zaman kanak-kanak di Pondok Polis Pasir Penambang Kuala Selangor. Deretan rumah papan dua tingkat berjiran dengan kaum tionghua. Rata-rata mereka ini terdiri dari penternak khinzir, penanam sayur dan nelayan. Rumah serta pondok polis yang terletak ditengah-tengah deretan rumah papan yang dilengkapi dengan talipon untuk menerima panggilan sahaja dari Balai Polis Kuala Selangor. Pada masa itu tiada lansung ada perasaan curiga atau perkauman. Bermain dengan anak-anak jiran berbangsa tionghua walaupun tidak faham bahasa mereka tetapi masih lagi boleh berkomunikasi secara bahasa isyarat. Keluar masuk dirumah mereka hingga kedapur adalah pekara biasa, seolah-olah satu keluarga.
Masih ingat lagi ,jiran sebelah rumah adalah penternak khinzir dibelakang rumah. Kandangnya bersaiz sederhana dan setiap petang khinzirnya akan dilepaskan. maka berkeliaranlah khinzir-khinzir tersebut dibelakang rumah tanpa ada perasaan jijik atau menghina haiwan ciptaan Tuhan yang Maha agung tersebut. Kadang-kadang membantu pula dengan anak jiran untuk sama-sama menyagat ubi kayu yang bertimbun didalam stor rumah untuk diberi makan kepada haiwan tersebut. Pelik tetapi benar. Apakah pada masa itu masih belum mengetahui hukum ahkam atau pun memang menganggap ia hanyalah haiwan biasa yang tidak boleh dimakan oleh orang melayu.

Seminggu sekali jiran sebelah akan membuat peanut butternya sendiri dengan mengunakan pengisar batu yang ditolak dengan kayu panjang. Membantu untuk menolak kayu panjang tersebut adalah pekara biasa. Kadang-kadang ibu juga menumpang sekali untuk mengisar beras untuk dibuat tepung basah. Beginilah kehidupan kami yang berjiran dengan kaum tionghua tersebut.

Jiran yang satu lagi pula petani menanam sayur, maka boleh dikatakan setiap petang ada sahaja sayur yang lebih akan diberikan kepada ibu dan begitu juga ibu akan membalasnya dengan kuih muih. Bila ada kelapangan terutamanya waktu hujung minggu, masing-masing akan duduk dihadapan rumah sambil bersembang walaupun dengan bahasa yang tidak fasih tetapi sifat kejiranan tetap terujud.

Yang pastinya setiap kali Tahun Baru cina, peti sejuk rumah akan penuh dengan buah limau yang diberi oleh jiran -jiran sebelah rumah. kisah ini adalah empat puluh tahun yang lalu. Malangnya hari ini apabila saya memerhatikan pergaulan anak-anak saya mereka lebih tertumpu kepada satu kaum sahaja baik disekolah mahupun dirumah. Seolah olah ada penghalang diantara mereka.

No comments: