Wednesday, July 9, 2008

KEHIDUPAN : AYAH KU DATO ANDIKA


Lega rasanya setelah mendengar perkhabaran bahawa ayah telah pun discharge dari hospital Manjung. Menurut abang, Ayah bertambah sihat dan akan pulang kekampung pada hari ini setelah berada dihospital selama empat hari kerana keletihan. Saya telahpun menalipon abang dan difahamkan beliau akan bertolak segera agar ayah dapat berehat dikampung sebelum ke Melaka General Hospital untuk pemeriksaan lanjutan berhubung masaalah jantungnya.




Abang ada memberitahu bahawa ayah mula risau kerana kerap tidak sihat kebelakangan ini dan abang berjanji akan menjaga mereka ,kalau perlu tinggal sahaja dengannya di Melaka kerana abang telah pun bersara. Sekurang kurangnya kerisauan ayah dapat ditenteramkan dan yang penting ayah perlu rehat yang secukupnya.




Sebenarnya ayah kerisauan kerana tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai Ketua Adat dikampung. Orang penting dalam urusan menjaga anak buahnya dan serta menjadi saksi setiap kali tukar nama dalam geran pembahagian harta pusaka. Ayah tidak mampu memandu kereta lagi setelah mengalami accident 10tahun yang lalu, ini membuatkan pergerakan ayah terbatas dan sentiasa mengharapkan pertolongan dari anak buahnya setiap kali menghadiri mesyuarat di Balai Undang.




Kami sekeluarga mencadangkan agar ayah melepaskan jawatan tersebut kerana kerap uzur tetapi ayah sentiasa memberi alasan bahawa ini adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh anak buahnya dan ayah merasakan ia satu penghormatan yang sangat besar. Memandangkan ayah merupakan bekas polis, semestinyalah ayah mempunyai displin yang tinggi dan sentiasa menjalankan tugasnya sebagai Ketua Adat dengan amanah dan sangat disayangi oleh anak buahnya kerana mudah berurusan dengan ayah.




Saya masih ingat lagi semasa arwah ibu masih ada, rumah kerap dikunjungi oleh anak buahnya untuk mengadu hal samada urusan peribadi mahupun urusan yang bersangkutan dengan adat perpatih. ayah akan menerima mereka dan melayan dengan baik walaupun dalam keadaan letih dan penat. Setiap kali hari raya puasa, rumah akan dihiasi dengan peralatan kebesaran ketua adat untuk anak buahnya datang mengadap.




Walaupun ayah dibayar elaun bulanan oleh kerajaan negeri tetapi ayah lebih rela membelanjakan wang pencennya untuk urusan bersangkutan dengan adat dan kerap keKuala Pilah untuk berurusan dengan Pegawai Daerah. Memandangkan keadaan ayah yang agak uzur tetapi ingatannya masih kuat dan dapat mengingati semua tarikh mesyuarat dan temujanji dengan anak buahnya.




Kami mengharap sudah tiba masanya ayah melepaskan jawatan tersebut dan berehat sahaja.

No comments: