Thursday, July 17, 2008

KEHIDUPAN : ASO Vs PARLIMENT


YB duduk, duduk, duduk, itulah ejakan salah seorang dari rakan sekerja semasa morning briefing di ASO hari ini. Tuan Speaker JT agak pening untuk mententeramkan YB,YB yang degil supaya diam. Masing-masing ingin mengeluarkan hujah-hujah berhubung bagaimana salah seorang dari YB mendapat ekses F CODE sedangkan lain-lain YB belum pun membayar outlet-outlet mereka untuk M2MN GONDOLA END payment.


Walau bagaimana pun Tuan Speaker mempertahankan YB tersebut kerana telah membuat keputusan yang betul kerana membayar awal setelah F CODE untuk pembayaran tersebut telah dikeluarkan lebih awal. Tuan Speaker juga memuji tindakan tersebut kerana cekap dan pantas dalam membuat pembayaran.


Dewan telah gamak lagi dan Tuan Speaker terpaksa meninggikan suara dan membidas YBS yang lain kerana lambat bertindak. Tuan Speaker juga memberi amaran supaya pembayaran dibuat segera supaya baki F CODE tidak dipulangkan kepada HQ. Masing-masing berpuas hati dengan penerangan yang dibuat oleh Tuan Speaker.


Tuan Speaker juga mengumumkan pembatalan Progam Cukup Rasa di Kampung Baru Wet Market pada sabtu ini kerana semua polis telah di kerahkan ke Kuala Lumpur untuk menjalankan operasi secara besar-besaran di sana untuk Maggi Cukup Rasa.


Seorang YB telah bangun dan mahukan Tuan Speaker menerangkan kepada dewan kenapa setelah setahun dilancarkan baru sekarang Kuala Lumpur menjalankan operasi tersebut. Tuan Speaker menjawab begitulah kerja YB di Kuala Lumpur, lambat bertindak.


Kemudian Tuan Speaker menutup sessi pagi dengan mengarahkan semua YB perempuan untuk masuk ke Chamber Tuan Speaker untuk latihan Cha Cha. Dewan akan bersidang pada esok hari. Sebelum itu Tuan Speaker mengingatkan YBs supaya mengambil perhatian tentang tarikh luput yang hampir untuk dibuat perancangan awal bagi membolehkan agihan serta mengurangkan Market Return.

Wednesday, July 16, 2008

KEHIDUPAN : APA ERTINYA?


16 JULY 2008, hari ini genaplah umur saya 46 tahun dan tidak tahu berapa lagi baki hidup yang masih tinggal buat diri saya. Walaupun ianya pemikiran yang agak negatif tetapi itulah hakikatnya yang harus saya hadapi. Secara jujur saya katakan bahawa sepanjang hayat saya tidak pula pernah saya meraikan hari tersebut dan membiarkan ianya berlalu tanpa disedari tetapi hanya kebelakangan ini ada seorang insan yang sentiasa mengingatkan saya tentang tarikh tersebut.


Buat diri saya, walaupun tarikh tersebut merupakan tarikh yang istimewa dan diraikan tetapi kesedihan dan kerisauan yang menyelubungi hati ini tidak dapat disembunyikan lagi apabila mengenangkan peristiwa yang berlaku pada tengahari tadi dimana seorang insan yang seagama diaibkan dan ditangkap pada waktu yang tidak sepatutnya. Hakikatnya itulah ketentuan Allah SWT dan ia Maha Mengetahui. Sebagai insan seagama, kita harus ingat mengaibkan seorang Islam itu merupakan satu dosa.


Kata ulama " SEKIRANYA DALAM DIRI KITA ADA 99 KEBAIKAN DAN SATU KEJAHATAN MAKA PANDANGLAH SATU KEJAHATAN TERSEBUT DAN SEKIRANYA SAHABAT KITA MEMPUNYAI 99 KEJAHATAN DAN SATU KEBAIKAN MAKA PANDANGLAH KEBAIKAN TERSEBUT."


Pentingnya tarikh hari ini bukanlah kerana ianya merupakan tarikh lahir saya tetapi tarikh dimana seorang insan yang bernama Saudara Anwar Ibrahim diaibkan. Apa jua kesilapan dan kesalahan beliau biarlah Allah SWT tentukan kerana ia Maha Melihat dan Maha Mengetahui.


Monday, July 14, 2008

KEHIDUPAN : PROJECT


Bulan julai, saya telah diberi satu tugas baru oleh pihak pengurusan ASO Bkt. Mertajam. Project Nescafe Tongkat Ali dan Ginseng. Misi saya adalah untuk memastikan TAG ini di edarkan diseluruh kedai runcit A,B dan C. Ini bermakna saya harus cover seluruh kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada pengedar saya iaitu CHHK. Kawasan tersebut bermula dari Seberang Prai utara, tengah dan Kulim.


Ia bukanlah satu tugas yang mudah tetapi amanah yang diberi akan saya laksanakan. Disamping itu saya juga dipertanggungjawabkan untuk menjalankan promosi bagi TAG di kedai kopi serta jualan terus dikilang-kilang dengan mengadakan aktiviti-aktiviti bagi mempromosikan keluaran Nestle Product.


Saya yakin akan mencapai sasaran yang diberikan, di samping itu project Maggi Cukup Rasa akan diadakan di Pasar Awam Kampung Baru di Bukit Mertajam pada 19 Julai 2008. Pihak ASO telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 100 peti Cukup Rasa bagi memecah rekod yang lalu di Bagan Ajam. Project seterusnya adalah Healthy Campaign di Kilang Continental Prai pada 6 ogos 2008.

Sunday, July 13, 2008

KEHIDUPAN : MY FAMILY CAR MODEL DARI TAHUN 70AN KE 2008.

Kereta yang pernah dimiliki oleh kakak saya Noraini. Honda Civic. Di jual dan digantikan dengan Proton Saga. di bawah adalah model-model kereta yang pernah dimiliki oleh ahli kelurga saya dari tahun 70an ke 2008.



Honda Accord yang pernah dimiliki oleh abang saya Abu Bakar semasa berpangkat leftenen di TUDM Lumut.


Setelah berpindah ke Kuantan Lumut abang menukar pula ke Model Honda Accord yang latest Model pada ketika itu.


Nissan Sunny model yang pernah di miliki oleh Dua abang saya Abd, Wahab dan Ismail.


Kereta yang pertama ayah beli Morris Mini Minor cukup antik, ayah beli dengan harga Rm 900 dekat workshop maniam di kampung Arab Port Dickson. Warna semasa ayah beli warna kuning.
Yang seronoknya hari ini beli esok ayah nak reverse terlanggar batang pokok diBerek Polis Port Dickson. kemudian kereta tersebut di warisi oleh kakak saya Norainon yang dibeli oleh abang ipar saya Md. Noh.



Selepas kakak menjual Mini Morrisnya kakak saya Norainon beli pula Volksewgen milik bapa saudara saya di Johol.




Model ini pernah dipakai oleh kedua-dua abang saya yang berkongsi membeli kereta model Fiat 124. Warna biru tua dan kereta pertama berhawa dingin. Beli di Johor Bahru, Abang Wahab dan Abu Bakar.




Mazda 808 milik pertama abang sulung saya Alias. Beli baru dan harga dibawah Rm 8000 pada tahun 1974. Warna kuning. Ayah memberitahu semua ahli keluarga yang abang telah membeli kereta baru. Pernah ke Pulau Pinang dengan kereta tersebut.



Selepas ayah menjual kereta Mininya Kepada kakak, Ayah membeli kereta Toyota KE30 recond car yang dibeli di Port Dickson . Ayah pakai agak lama sehingga kereta tersebut mengalami kemalangan yang teruk. Akhirnya di jual dengan harga besi buruk sahaja kerana kos untuk membaikinya terlalu mahal. Teringgat bagaimana susahnya Ayah untuk mendapatkan kebenaran untuk membeli kereta tersebut kerana sebagai Polis kena istihar pendapatan dan Ayah terpaksa mendapatkan tandatangan dari abang-abang untuk menyatakan jumlah pendapatan yang dihantar oleh anak-anak.

Mazda 323 milik abang wahab selepas menjual kereta Nissan Sunnynya.




Galant sigma milik kakak saya Norainon selepas menjual opelnya.





Alfasud pernah dimiliki oleh adik saya Faridah selepas berkhawin dengan adik ipar saya Ariffin yang tinggal di Johor Bahru.




BMW ini pernah dimiliki oleh abang sulung saya Alias. Beliau membelinya semasa bertugas di Milan Itali. Beliau bertugas di Atache Perdagangan di Kedutaan Malaysia di Itali.



Honda Accord Hacthback ini pernah saya miliki selepas saya menjual kereta Proton Iswara. Pada masa yang sama saya di beri sebuah van untuk kegunaan kerja dan peribadi oleh syarikat tempat saya bekerja. Walaupun secondhand tapi worth buying kerana tak pernah bagi problem.

Apabila model ini dikeluarkan adik saya Faridah terus menempahnya bersama adik ipar tetapi malangnya telah dijual kerana tidak berpuas hati dengan prestasinya, dua kali di angkat Enginnya kerana bermasaaalah. Kemudian abang saya Abdul Wahab pula beli tetapi malangnya masuk air dibahagian cermin depan.




Setelah tidak berpuas hati dengan Wajanya, abang wahab beli second car model Myvi untuk Kegunaan isterinya dan anak-anaknya. Kemudian abang menjual wajanyanya dan beli Honda City.





Proton Saga yang pernah dimiliki oleh arwah abang ipar saya Mohammad. Malangnya kereta ini juga pernah mengalami kemalangan yang teruk terhumban dalam paya. Di baiki lantas dijual.




Kereta model yang saya miliki kini under company loan TOT.





Model ini pernah dimiliki oleh kakak saya Norainon dan abang Mail. Abang Mail pakai model ini sampai kini dan tinggal di Taman Malawati Ulu Kelang.





Proton Iswara yang pernah menjadi milik saya semasa bertugas di Ipoh Perak. Dijual kepada teman sekerja dengan harga Rm 24,000. dengan plat pendaftaran BEL7459.




Model perodua Kenari pernah di miliki oleh kakak saya Norainon kemudian dijual dan beli Kia Spectra.



Kereta terbaharu milik abang saya Abu Bakar selepas pencen dari tentera laut. Kereta yang masih dalam simpan beliau ialah kereta Volvo yang dibelinya semasa bertugas di Korea Selatan. Bertugas di Atache Tentera di Kedutaan Malaysia disana.




Model Honda City VTEC miliki abang Wahab saya. Selepas menjual Wajanya.





Selepas dua kali engin wajanya diangkat, adik dan adik ipar mengambil keputusan untuk menjualnya dan membeli Hundyai Matrix berwarna hitam.




Kia Spectra model milik kakak saya dan abang ipar saya Md. Noh selepas menjual kenarinya.




Volvo yang dimiliki oleh abang saya yang dibeli di Korea Selatan, masih dalam simpan untuk kegunaan sebagai second car oleh abang saya Abu Bakar. Nak jual tak ada harga.




KEHIDUPAN : MODEL HONDA CL90 AYAH KU.

Banyak benar jasa model Honda CL90 kepada ayahku. Inilah motosikal yang dibeli untuk kegunaan ayahku balik kampung keJohol dengan arwah ibu terutama melawat arwah nenek yang kerap uzur dikampung. Perjalanan ke Johol dari Port Dickson mengambil masa selama dua jam.



Apabila musim buah-buahan dikampung dengan model motosikal inilah ayah gunakan untuk mengangkutnya dengan arwah ibuku. Kerap juga ayah membawa ku menaiki motosikal ini untuk melawat arwah ibu semasa menjaga arwah nenek yang sakit dikampung.


Jasa mu ku kenang.

KEHIDUPAN : BASIKAL


Semenjak kenaikan harga petrol, saya jarang keluar tanpa haluan. Inilah kesannya atau bahang dari kenaikan harga petrol baru-baru ini. Bukan sahaja saya bahkan kebanyakan rakan-rakan saya juga menghabiskan masa dirumah bersama keluarga. Ada juga hikmahnya yang tersembunyi. Ada diantara rakan-rakan mengsyorkan agar membeli sebuah basikal untuk kegunaan bagi jarak dekat seperti ke kedai atau bersiar-siar di waktu petang terutama hari sabtu dan ahad.




Bercakap mengenai basikal membuatkan saya terkenang dizaman ayah semasa duduk di berek polis Port Dickson. Boleh dikata setiap malam ayah akan keluar bersama rakan-rakan sekerjanya untuk bersiar-siar atau menonton wayang gambar dipekan apabila tiada night duty. Ayah akan menunggu dirumah dan akan keluar sebaik sahaja isyarat loceng basikal dibunyikan oleh rakannya.




Peristiwa yang tidak pernah dilupakan ialah menghilangkan kunci basikal ayah yang terjatuh dilaut dekat dengan jetty dipekan Port Dickson. Pengunci basikal terpaksa dipecahkan agar membolehkan ianya berjalan. Perasaan takut dan cemas sentiasa ada kerana takut kalau-kalau ayah akan keluar malam itu seperti biasa. Seperti yang dijangkakan ayah menanyakan kunci basikalnya dan saya menjawabnya dibawah. Tiba-tiba ayah memanggil saya turun kebawah dan belum pun sempat memberi alasan, penangan telah pun singgah kemuka.




walaupun ayah memiliki sebuah motosikal Honda 90 tetapi ayah lebih suka membonceng basikal untuk perjalanan jarak dekat. Ayah sentiasa menjaga basikalnya dengan cermat tetapi apabila ayah menyerahkan basikal tersebut kepada saya secara rasminya maka berlakulah ubahsuai mengikut trend pada zaman itu. Handlenya di tinggikan dan semua mudguardnya ditanggalkan.




Apabila anak merengget inginkan basikal baru terpaksa dibelikan, malangnya basikal tidak pernah dijaga dengan baik dan kerap dihantar untuk dibaiki kerana selalu rosak akibat di angkat tayar bahagian depannya. Merunggut juga kerana kerap sangat diperbaiki dan yang menjadi mangsanya adalah mamanya tempat dia untuk menggadu. Hati seorang ibu ,bising-bising bagi duit juga untuk dibaiki kerana memudahkan simama menyuruh anaknya ke kedai untuk membeli barang dapur.




Friday, July 11, 2008

KEHIDUPAN : HARI LAHIR

Kadang-kadang terfikir juga dalam hati bahawa adakah umur ini meningkat atau menurun. Hakikatnya ianya menurun kalau kita mengikut kiraan akhirat. Sekiranya kita ditakdirkan mengikut suratan Allah Swt maka tahun ke tahun kita mula hampir dengan ajal yang telah ditetapkan sejak azali lagi. Oleh itu masa semakin suntuk, cukup sudahkah amalan yang ingin dibawa untuk akhirat. Sama-samalah kita merenungkannya.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari lahir kepada teman iaitu Shukor, Mai dan Mat suami kepada Normadiah, semoga hidup sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah Swt.

Thursday, July 10, 2008

KEHIDUPAN : HAPPY BIRTHDAY MAI


Terima panggilan talipon dari zul pagi tadi, menjemput saya untuk menghadiri jamuan kecil sempena harijadi Mai panggilan manja isterinya dan juga merupakan teman satu kursus semasa di ITM Shah Alam. Jamuan akan diadakan pada ahad ini di Subang Jaya yang akan dihadiri oleh teman rapat dan keluarga terdekat sahaja. Kebetulan bulan Julai juga merupakan bulan kelahiran saya. Agak keberatan juga untuk menolak kerana Zul dan isterinya rakan baik tetapi terpaksa memberi alasan yang munasabah agar tidak berkecil hati.


Memandangkan hari jamuan tersebut hari Ahad maka saya mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak kerana isnin hari berkerja dan saya pula terpaksa memandu dari Pulau Pinang. Walau bagaimana pun saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Zul kerana menyenaraikan nama saya dalam list jemputan beliau. Menyentuh bab menyambut hari jadi ini ia merupa satu trend pula dikalangan rakan -rakan saya terutamanya rakan dikalangan perempuan. Rata-rata mereka ini berada dalam peringkat umur 40an dan kebanyakan mereka ini mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang agak kukuh, manakala yang tidak bekerja pula mempunyai suami yang mampu untuk hidup dengan kemewahan.


Sepanjang hayat saya tidak pernah pula mengingati hari tersebut apatah lagi untuk menyambutnya. Zaman telah berubah bahkan anak-anak juga terpengaruh apabila melihat anak-anak jiran menyambut hari jadi dan diadakan jamuan kecil untuk hari tersebut. Kadang-kadang terpaksa mengalah juga tetapi menyambutnya dirumah bersama anak-anak sahaja. Saya akan membeli kek dan di letakkan lilin diatasnya lalu di tiup tanpa ada hadiah. Dapat dilihat dari raut wajah sikecil nampak riang sambil meniup lilin dan memberi ciuman pada pipi tanda kasih sayang. Pada anak perempuan ku hanya ini yang ayah mampu sediakan.




Wednesday, July 9, 2008

KEHIDUPAN : AYAH KU DATO ANDIKA


Lega rasanya setelah mendengar perkhabaran bahawa ayah telah pun discharge dari hospital Manjung. Menurut abang, Ayah bertambah sihat dan akan pulang kekampung pada hari ini setelah berada dihospital selama empat hari kerana keletihan. Saya telahpun menalipon abang dan difahamkan beliau akan bertolak segera agar ayah dapat berehat dikampung sebelum ke Melaka General Hospital untuk pemeriksaan lanjutan berhubung masaalah jantungnya.




Abang ada memberitahu bahawa ayah mula risau kerana kerap tidak sihat kebelakangan ini dan abang berjanji akan menjaga mereka ,kalau perlu tinggal sahaja dengannya di Melaka kerana abang telah pun bersara. Sekurang kurangnya kerisauan ayah dapat ditenteramkan dan yang penting ayah perlu rehat yang secukupnya.




Sebenarnya ayah kerisauan kerana tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai Ketua Adat dikampung. Orang penting dalam urusan menjaga anak buahnya dan serta menjadi saksi setiap kali tukar nama dalam geran pembahagian harta pusaka. Ayah tidak mampu memandu kereta lagi setelah mengalami accident 10tahun yang lalu, ini membuatkan pergerakan ayah terbatas dan sentiasa mengharapkan pertolongan dari anak buahnya setiap kali menghadiri mesyuarat di Balai Undang.




Kami sekeluarga mencadangkan agar ayah melepaskan jawatan tersebut kerana kerap uzur tetapi ayah sentiasa memberi alasan bahawa ini adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh anak buahnya dan ayah merasakan ia satu penghormatan yang sangat besar. Memandangkan ayah merupakan bekas polis, semestinyalah ayah mempunyai displin yang tinggi dan sentiasa menjalankan tugasnya sebagai Ketua Adat dengan amanah dan sangat disayangi oleh anak buahnya kerana mudah berurusan dengan ayah.




Saya masih ingat lagi semasa arwah ibu masih ada, rumah kerap dikunjungi oleh anak buahnya untuk mengadu hal samada urusan peribadi mahupun urusan yang bersangkutan dengan adat perpatih. ayah akan menerima mereka dan melayan dengan baik walaupun dalam keadaan letih dan penat. Setiap kali hari raya puasa, rumah akan dihiasi dengan peralatan kebesaran ketua adat untuk anak buahnya datang mengadap.




Walaupun ayah dibayar elaun bulanan oleh kerajaan negeri tetapi ayah lebih rela membelanjakan wang pencennya untuk urusan bersangkutan dengan adat dan kerap keKuala Pilah untuk berurusan dengan Pegawai Daerah. Memandangkan keadaan ayah yang agak uzur tetapi ingatannya masih kuat dan dapat mengingati semua tarikh mesyuarat dan temujanji dengan anak buahnya.




Kami mengharap sudah tiba masanya ayah melepaskan jawatan tersebut dan berehat sahaja.

Tuesday, July 8, 2008

KEHIDUPAN : TANGGA


Apa yang berlaku sekarang betul-betul memeningkan kepala, walaupun persoalan yang berlaku sekarang cuba dilupakan untuk sementara waktu tetapi persoalan yang serupa juga akan diperbincangkan apabila ada masa terluang sebaik sahaja selesai sembahyang isyak disurau dan duduk ditepi tangga sementara menunggu hujan reda. Walaupun dalam hati tak mahu mendengar perbincangan tersebut tetapi kedua dua telinga ini cuba mencuri-curi dengar kalau-kalau ada berita yang terkini.


Ternyatalah, rata-rata masih lagi membincangkan dan mengeluarkan pendapat serta pandangan mereka berhubung pekara yang berlaku sekarang. Nampaknya mereka berminat untuk mengetahui pekara sebenar, maka keluarlah nama-mana blogs yang menjadi sumber rujukan. walaupun berita atau blog yang dibaca itu belum pasti kesahihannya yang penting ada maklumat yang boleh diperpanjangkan untuk dibuat topik perbualan. Secara tak langsung berita online dan blogger rumours lebih dipercayai dari berita yang disampaikan oleh akhbar tempatan dan berita dari media elektronik.


Benar atau salah itu nombor dua yang penting ada berita sensasi yang menarik berkisar dengan politik tanah air ku. Yang pastinya perbualan berkisar tentang kehilangan Balasubramaniam dan SDnya serta penglibatan pihak polis dan badan perhakiman. Persoalannya adakah mereka itu telus dan adil?


Jawapannya terpulanglah kepada anda yang berada dibelah pihak yang mana.

Monday, July 7, 2008

KEHIDUPAN : AYAH

Hari sabtu dan ahad yang lepas merupakan hari yang paling sibuk dan memenatkan kerana berhadapan dengan beberapa ujian dari Allah Swt dalam masa yang serentak. Namun begitu sempat juga menulis satu blog dipagi sabtu sebelum hantar anak perempuan saya ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan Ashtma. Rawatan mengambil masa yang panjang dan lama kerana ramai pesakit. Saya terpaksa menunggu lebih kurang dua jam sebelum dapat berjumpa dengan doktor untuk rawatan yang selanjutnya.
Dalam hati terfikir juga selalunya pada hari sabtu Hospital kurang pesakit dan mungkin dalam keadaan sekarang orang ramai lebih suka berurusan dengan Hospital Kerajaan kerana kos rawatannya agak minimal. Setelah doktor membuat pemeriksaan, beliau mengesahkan bahawa anak perempuan saya mengalami Lung Infection tetapi tidaklah serius dan ditulis senarai ubat yang harus dimakan. Setelah selesai saya mengambil ubat dari kaunter farmasi dan terus beredar dari hospital.
Melihat jumlah botol ubat yang harus dimakan saya mengangarkan jumlah kos yang harus dibayar sekiranya berjumpa dengan hospital swasta tidak kurang dari RM100. Namun saya tidak perlu membayar apa-apa pun tadi kerana anak saya masih bersekolah. Setelah sampai dirumah terus rehat. Tiba-tiba talipon tangan berbunyi dan saya melihat skrin talipon panggilan dari abang saya, " nal abah tak sihatlah, tadi abang hantar makcik pergi klinik kerana batuk dan sekarang abah nampak lemah kalau abang hantar hospital tentu kena tahan" kata abang saya. Saya menjawab " lebih baik abang hantar hospital nanti saya datang keManjung".
Jam menunjukan pukul 12.30 tengahari terasa letih dan perlu berehat dahulu kerana nak keManjung pula untuk menziarahi ayah di rumah kakak disana. Selepas sembahyang Zohor disurau terus pulang dan rehat sampai pukul 4.00 petang kemudian barulah bertolak ke Manjung seorang diri kerana kedua dua anak perempuan saya tidak sihat. Sampai di Manjung agak lewat hampir pukul 8.00 mlm dan terus kakak saya memberitahu bahawa ayah telah ditahan diHospital Manjung kerana jatuh didalam bilik air tadi.
Abang menunggu ayah dihospital untuk mengurus keperluannya. Setelah selesai barulah abang saya pulang untuk berihat dan kemudian kehospital lagi untuk menunggu ayah pada malam itu. Malam itu juga saya kehospital untuk melawat ayah yang terlantar kelemahan lalu saya cium pipi dan dahinya lalu beliau terjaga dan tidak berkata apa apa pun. Saya hanya mampu melihat dan mengarahkan ayah agar berihat. Saya duduk disisi ayah lebih kurang dua jam sebelum beredar pulang kerumah kakak manakala Abang terus berada disisi ayah pada malam itu.
Agaknya ayah keletihan kerana berjalan jauh dan cuaca yang sangat sejuk di Cameron Highland juga menyebabkan salah satu faktor apatah lagi usianya yang hampir 80 tahun. Walaupun rancangan asalnya untuk bercuti di Equtorial Hotel dua malam tetapi dipendek kerana tak tahan sejuk. Semua ini adalah rancangan abang kerana beliau berniat untuk membawa ayah bercuti setelah bersara.
Keesokannya apabila abang pulang dan terus saya menanyakan keadaan ayah, beliau menjawab telah ada perubahan dan ayah mampu untuk mengerakan badan serta mengiring kiri dan kanan. Selepas makan tengahari saya akan melawat ayah lagi sebelum bertolak pulang keKepala Batas. Sepanjang perjalanan saya mengimbas kembali kenangan lama dimana dalam kalangan abang-abang saya, abang yang inilah yang kerap kena pukul kerana terlampau nakal dan dari segi pelajaran beliaulah yang paling mundur dan gagal. Walau bagaimana pun abanglah yang paling disayangi oleh arwah ibu mungkin terlalu kesian kerap dipukul ayah. Abang terus berusaha dan belajar malam ketika beliau berkerja sebagai attendan di MRI Kuala Lumpur. Kini beliau agak selesa dalam hidup walaupun bersara apatah lagi anak-anak berjaya dalam hidup masing-masing.
Melihat keadaan abang yang menjaga ayah siang dan malam dihospital membuatkan saya terfikir mampukah saya melakukannya atau mampukan anak-anak saya menjaga saya sebagaimana abang menjaga ayah takkala usia tua. Saya hanya mampu mencium pipi ayah setiap kali berjumpa ayah walau dimanapun untuk menunjukan tanda kasih dan sayang saya terhadap ayah. Saya hanya mampu berdoa untuk keselamatan ayah dan ibu didunia dan diakhirat.
Sampai diKepala Batas dalam pukul 6.00 petang dan pukul 6.30 petang terus keluar untuk membawa anak kecil saya untuk pemeriksaan diKlinik Pakar Kanak-Kanak Hacharan di Sungai Petani kerana demam dan batuk. Walau pun dalam keadaan penat dan letih, ini merupakan tanggungjawab saya sebagai ayah. Hidup umpama roda bak kata orang tua-tua " sebagaimana kita menjaga kedua-dua ibubapa kita dengan penuh kasih sayang maka begitulah anak-anak akan menjaga kita takkala waktu tua dengan penuh kasih sayang".

Saturday, July 5, 2008

KEHIDUPAN : SUBUH


Sebaik sahaja selesai doa sembahyang subuh, para jemaah akan duduk sebentar untuk mendengar taklim yang menyentuh bab cabang-cabang iman. Salah satu cabang iman adalah mengelakan fitnah dan nyatakan pekara yang haq dan elakan pekara yang bathil serta jauhkan dari menyembunyikan pekara yang benar.


Setelah selesai bersalaman maka masing-masing akan turun keluar dan duduk dibangku batu yang disediakan untuk meluangkan masa untuk bersembang apatah lagi hari ini hari sabtu, cuti. Rata-rata Para jemaah melahirkan rasa kebimbangan melihat keadaan politik yang penuh dengan fitnah mefitnah, sehinggakan pekara pokok yang utama telah diabaikan akibat persengketaan dalam merebut kuasa.


Masing -masing memberi pendapat dan melahirkan rasa sedih akibat pembalahan yang seolah olah tiada penyelesaian, yang menjadi mangsanya adalah rakyat jelata yang bergelut dalam menangani masaalah kos sara hidup. Apa pun yang berlaku ianya haruslah dirujuk kembali kepada Agama yang sentiasa ada jalan penyelesaianya. Samada pekara yang berlaku hari ini benar atau salah, satu masa nanti akan terbongkar jua akhirnya dan hanya masa sahaja akan menentukan siapa yang benar dan siapa yang bersalah.


Jangan biarkan persengketaan sesama umat Islam yang akan membawa banyak kerugian yang akhirnya bangsa lain akan mengetawakan gelagat umat Islam terutama bangsa melayu akibat dari kebodohan diri sendiri. Sebagai orang awam, apa yang perlu dilakukan ialah memperbanyakan Doa dan Isftirfar serta melihat keburukan yang ada dalam diri masing-masing.

Friday, July 4, 2008

KEHIDUPAN : CHA CHA

Lupakan soal politik yang bercelaru, mari berdansa cha cha. Maggi Roadshow dijadualkan pada Ogos 2008 yang akan diadakan diHotel Citybayview Penang. Menjadi satu tradisi, selepas sahaja roadshow setiap ASO Penang Branch akan mempersembahkan bakat-bakat yang terpendam. Tema persembahan kali ini ialah tarian Cha Cha.




Tengku Ezan, koordinator tarian bersama dengan JT Pengurus Pentas sedang memantau latihan Cha Cha di Lecture room di ASO .


Cha cha Bee Hoon, gelek,gelek dan gelek sambil diperhatikan oleh Mr. Khor Ah Kaw selaku Disco Manager CHHK.


Eileen, Bee Hoon mari aku ajar hang cara-cara nak menari Cha Cha. Berjanji akan memberi persembahan yang terbaik bagi menaikan nama ASO. Selalu dapat no.2, kali ini cuba dapatkan Persembahan yang Terbaik.


Penyanyi Utama Cum pengurus Disco sedang menyanyikan lagu Cha Cha dari Thailand. Secara kontraknya beliau akan menjadi penyanyi utama setiap kali Roadshow diadakan. Cha Cha and Lets Cha Cha.

Thursday, July 3, 2008

KEHIDUPAN : MUNGKIN JUGA?

Keadaan politik hari ini, memperlihatkan akan kecelaruan dan tidak tentu arah menyebabkan berlaku kekeliruan dikalangan rakyat yang telah pun dihimpit dengan masaalah kenaikan sara hidup yang tinggi. Persoalan demi persoalan telah timbul, adakah apa yang berlaku hari ini berpunca dari masaalah perebutan kuasa?







Setelah dikejutkan oleh RPK dengan Statutory Declaration[SD], timbul pula laporan kes liwat yang melibatkan DSAI oleh pembantu peribadinya Saiful. Tiba-tiba muncul pula SD yang dibuat oleh bekas penyiasat persendirian yang pernah diupah oleh Razak Baginda, Balasubramaniam yang mengaku bahawa ada orang yang ketiga terlibat dalam kes berprofil tinggi Altantuya. Beliau melahirkan rasa kecewa berhubung siasatan yang tidak sempurna. Maka timbul persoalan ini adakah mungkin.........







Setelah memperlihatkan adanya tanda-tanda bahawa kerajaan yang ada hari ini akan dijatuhkan oleh Pakatan Rakyat maka, satu usaha telah dijalankan untuk menjatuhkan pihak lawan dengan membuat satu fitnah yang agak memalukan, tetapi mana mungkin kerana PM telah pun membuat kenyataan bahawa BN tidak terlibat dalam konpirasi untuk menjatuhkan pihak lawan apatah lagi untuk menyusahkan pihak lawan. Pening, pening untuk memikirkannya.






Ataupun mungkin pihak lawan telah rasa tersepit kerana tidak ada tanda-tanda yang pihak kerajaan berpaling tadah untuk menyertai Pakatan Rakyat, maka diada-adakan cerita untuk menutup kelemahan tersebut. Tetapi mana mungkin takkan pula sanggup mengadaikan maruah dan harga diri dengan kes yang cukup memalukan itu. Pening, pening untuk memikirkannya, kalau begitu kita biarkan pihak Polis untuk menyiasat kes tersebut.






Pihak Polis telah pun menberi jaminan bahawa semua siasatkan akan adil dan telus. Bahkan PM telah memberi jaminan keselamatan kepada pihak tertuduh. Tapi macam mana pulak pihak tertuduh telah pun membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara berhubung kes beliau tahun 1998. Apatah lagi SD terbaharu oleh Bekas Penyiasat Persendirian merasa ragu tentang kemampuan pihak polis dalam menjalankan siasatan yang tidak telus dan memadamkan pengakuan beliau. Bagaimana pun kita mesti akui bahawa Pihak Polis kita adalah tercekap dalam menyelesaikan kes didunia. Pening, pening memikirkannya. Biarlah kita serahkan pada pihak mahkamah untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang bersalah
.






Mahkamah Malaysia telah membicarakan banyak kes- kes yang berprofil tinggi seperti kes DSAI dan terbaharu kes Altantunya. Tetapi timbul pula bahawa banyak keputusan kes melibatkan adanya tangan-tangan gaib yang menentukan siapa yang salah dan benar. Maka keluarlah kes Linggam yang memperlihatkan kepincangan dalam perhakiman Malaysia. Maka terkeluarlah nama-nama yang tidak sepatutnya ,bahkan dirakam pula peristiwa tersebut. Tercalarlah bidang Perhakiman diMalaysia. Tetapi tak apa, PM telah memberi jaminan bahawa reform kehakiman akan dijalankan dan diberi amanah kepada orang yang bernama Zaid
.






Pening, pening memikirnya dan bertambah celaru bak kata pepatah " HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI".

Wednesday, July 2, 2008