Showing posts with label SYAWAL. Show all posts
Showing posts with label SYAWAL. Show all posts

Sunday, October 5, 2008

KEHIDUPAN : RUMAH TERBUKA


Suasana hari raya masih dirasai lagi kerana sabtu dan ahad merupakan hari rumah terbuka bagi mereka yang telahpun pulang dari kampung halaman. Berbagai hidangan disediakan terutamanya sebelah utara mee kuah, rebus juga laksa merupakan hidangan utama pada hari ini. Baru sahaja pulang dari rumah jiran untuk rumah terbuka dengan hidangan mee rebus istimewa disertai dengan kuih muih moden dan tradisional. Masih lagi ada jemputan yang akan menyusur kemudiannya. Minta diri lebih awal kerana tetamu akan bertandang kerumah sebentar lagi.


Hidangan untuk tetamu telahpun disediakan lebih awal kerana untuk mengelakan kekalutan disaat terakhir. Isteri telah menyediakan hidangan mee kari dan sedikit kuih muih ala kadar. Dalam saat-saat keadaan ekonomi yang kurang mengalakan ini nampaknya suasana hari raya tidaklah begitu menyerlah seperti tahun-tahun yang lalu, mungkin berjimat cermat agaknya dan mungkin juga untuk mengelakan pembaziran yang tidak perlu.


yang pastinya baju raya dan baju melayu dua tahun lepas masih elok hanya anak-anak sahaja bertukar baju baru kerana dah menjadi tradisi. Anak pula telah meningkat remaja mula memilih pakaian sendiri yang berjenama begitu juga kasut, mau tak mau berbelanja jugalah. Untuk isteri terpulanglah kerana duit telah diberi awal untuk membuat persediaan.


Esok hari kerja,macam biasa kena jamu rakan -rakan pejabat untuk itu persediaan jamuan esok akan disediakan pada malam nanti. Hidangan yang disediakan ialah nasi lemak berlaukan kari ayam dan sambal ayam goreng. Disamping itu lengkong merah dan sedikit kuih muih yang dibeli dipasar tani. Simple dan ringkas.

Thursday, October 2, 2008

KEHIDUPAN : SYAWAL MENJELMA LAGI.


Satu Syawal menjelma lagi, kedengaran bunyi mercun dan pancutan bunga api bertalu-talu yang menyerikan suasana malam Syawal. Kanak-kanak berlari keriangan sambil bermain bunga api. Walaupun suasana beraya diTaman-taman perumahan tidaklah semeriah suasana dikampung tetapi tradisi kunjung mengunjung tetap juga terasa meriahnya. Penghuni kawasan perumahan agak sunyi juga kerana kebanyakanya balik kampung yang tinggal hanyalah penghuni yang kampung mereka adalah disekitar Kepala Batas.




Aktiviti mengunjung kerumah ahli-ahli jemaah surau bermula selepas isyak, kumpulan bertakbir dari rumah-kerumah diketuai oleh Haji Hamid. Walaupun inilah kali pertama aktiviti ini dilakukan sambutan agak mengalakan dan mungkin ramai yang tidak mengetahuinya lagi kerana ianya diberitahu pada malam akhir sembahyang terawih. Kumpulan ini telah mengunjung rumah saya, Rosdi, Ust. Yusof, Pak ak, Jalil, Ghafur dan diakhiri dirumah Haji Hamid. Dengan adanya aktiviti seumpama ini dapat merapatkan lagi siratulrahim diantara penghuni-penghuni dikawasan Taman Putra Bertam.




Kumpulan ini akan bergerak dengan lebih aktif lagi pada masa akan datang dengan mengumpul lebih banyak ahli-ahli jemaah untuk menyertai kumpulan takbir hari raya.

Tuesday, September 30, 2008

KEHIDUPAN : HARI RAYA AIDIL FITRI

Besok merupakan Hari Raya bagi orang-orang muslim seluruh dunia. Setelah sebulan berpuasa maka tibalah masanya untuk kita merayakan hari yang mulia dimana Allah mengharamkan berpuasa pada hari tersebut. Apabila mengenangkan kembali bagaimana arwah ibu saya akan begitu sibuk menyediakan juadah dan lauk pauk untuk persediaan hari yang mulia itu. Inilah masanya keluarga akan berkumpul sambil bergelak ketawa dan diiringi dengan gelagat anak-anak dan cucu-cucu yang berlari sambil bermain bunga api dihalaman rumah yang luas.
Anak-anak perempuan akan diberi tugas untuk mengemas rumah manakala anak-anak lelaki pula dan menantu sibuk dibelakang sambil mengacau rendang dan menjaga api agar lemang masak dengan eloknya. pada malam itu kami akan bersembang sampai pukul tiga empat pagi kerana begitu banyak cerita yang ingin diceritakan kerana inilah masanya semua keluarga dapat berkumpul dengan serentak.
Akan kelihatan ayah dan ibu akan sibuk dengan persediaan tempat mengadap ketua adat yang merupakan satu tempat dimana anak-anak buah ayah akan datang untuk mengadap pada Hari Raya nanti. Alat alat kebesaran akan digantung dan tidak sesiapa pun dibenarkan untuk duduk ditempat tersebut hatta anak-anak cucu sekalipun. Begitulah kuatnya ayah menjaga adat yang diamanahkan kepada beliau.
Kini hanya tinggal kenangan setelah permergian ibu menyambut seruan illahi. Rumah yang besar ditinggalkan kosong dan tidak berpenghuni. Kemeriahan Hari Raya mula menghilang dan keluarga tidak berkumpul seperti selalu kerana masing-masing telahpun mempunyai anak menantu sendiri. Walau pun begitu Rumah pusaka peninggalan arwah ibu tetap ceria sekali sekala apabila ada peluang untuk berkumpul semula ahli keluarga.
Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang Mulia ini saya dan keluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada semua pembaca , maaf zahir batin.