Sunday, February 7, 2010

KEHIDUPAN : CAHAYA KEBENARAN.


Setelah mengikuti dua siri ceramah yang disampaikan oleh bekas ketua agama yang telah pun memeluk agama Islam, kita harus menanyakan pada diri kita sendiri apakah nikmat Islam yang ada didalam diri kita ini benar-benar membawa kita kepada ketaatan kepada Allah Swt. Kita bersyukur kerana kita dilahirkan diri perut ibu yang telah pun beragama Islam. Tanpa susah payah kita telah pun menjadi Islam. Cuba kita renungkan bagaimana mereka yang telah memeluk Islam dengan pengorbanan dan mereka bersusah payah untuk mencari kebenaran dengan mengkaji setiap agama yang ada didunia ini dan akhirnya mereka memeluk Islam setelah yakin dan percaya bahawa hanya Islamlah agama yang sebenar dan hanya Al Quranlah satu-satunya kitab yang asal turun dari Allah Swt.


Mereka membuat perbandingan dengan kitab-kitab mereka yang ternyata banyak kepalsuan dan dicampur adukkan dengan kata-kata manusia yang lemah disertai dengan mengubah ayat-ayat yang asal kepada sesuatu mengikut kehendak dan bersesuaian dengan nafsu mereka. Pada asalnya mereka mencuba untuk mencari kesilapan Al Quran tetapi akhir terpaksa mengaku bahawa tiada cacat celanya dan kesilapan didalam Al Quran bahkan ianya adalah benar-benar firman Allah Swt dan tiada satu manusia pun yang mampu untuk meniru ataupun membuat sepertinya dan mustahil manusia mampu untuk melakukannya. Subhanallah.


Saya pernah bertemu dengan manusia seperti ini kira-kira dua puluh tahun yang lalu. Saya menanya beliau apakah yang menyebabkan beliau memeluk agama Islam, beliau menjawab mencari kebenaran. Beliau adalah seorang guru di Malaysia dan berhijrah ke Australia sebagai guru bahasa Inggeris. Pada suatu masa beliau teringin untuk membaca Al Quran, lantas beliau pun ke pustakaan untuk menbaca terjemahan Al Quran. Beliau membuat perbandingan ayat-ayat firman Allah Swt dengan kitab beliau dan beliau dapati begitu banyak persamaan tetapi tidak jelas. Contohnya beliau memberitahu saya tentang surga dan neraka. Al Quran menceritakan tentangannya dengan jelas dan terang tetapi dalam kitab beliau agak kesamaran.


Sampai kesatu ayat yang beliau tidak mahu ceritakan kepada saya, beliau merasa gelisah dan tidak tenteram lantas pulang dengan penuh persoalan? Pada keesokan harinya beliau mencari orang Islam yang berketurunan Pakistan dan terus mengucap Syahadah. Setelah menjadi orang Islam beliau pulang keMalaysia dan menyertai Jemaah Tabligh. Saya sempat bersama beliau selama 40 hari dan banyak pengalaman yang beliau ceritakan kepada saya. Amalan agamanya melebihi dari kita yang telah pun menjadi Islam semenjak lahir lagi. Beliau dapat merasakan nikmat Islam dan Iman yang sebenar dan berpegang teguh dengannya. Beliau yakin inilah jalan yang lurus dan bersyukur kepada Allah Swt yang memberi petunjuk dan hidayah kepada beliau.


Sebagai penganut setia agama yang asalnya, beliau tidak mahu berkhawin tetapi setelah memeluk agama Islam ,beliau berkhawin dan dikurniakan dengan beberapa orang anak. Beliau yakin inilah sunnah Rasullullah Saw. Lihatlah betapa kasihnya Allah Swt dan memberi hidayat kepada orang yang mahukan petunjuk. Hanya orang yang dibuka hatinya sahaja dengan perasaan ingin tahu maka petunjuk Allah Swt akan datang tetapi sebaliknya walaupun seseorang itu membuat banyak kebaikan sesama manusia tetapi tiada niat dihati untuk mencari kebenaran maka pintu hatinya akan tertutup kerana hidayah adalah milik Allah Swt dan hanya Allah Swt sahaja yang boleh memberi hidayah kepada orang yang dipilihnya hatta bapa saudara Nabi Saw sekalipun yang sering membantu beliau iaitu Abu Mutalib mati tanpa Iman. Nabi Muhammad Saw memohon supaya bapa saudara beliau diberi hidayat tetapi tidak diperkenankan oleh Allah Swt bahkan Nabi ditegur oleh Allah Swt atas perbuatan beliau.


Puncanya, beliau tiada keinginan untuk mencari kebenaran. Sebelum bapa saudaranya meninggal dunia Nabi Saw telah memujuknya untuk mengucap syahadah tetapi beliau berkata kalaulah tidak kerana takut dikatakan bahawa beliau mengikut kata anak saudaranya oleh kaum beliau nescaya beliau akan sejukan hati Nabi saw dengan perkataan syahadah dan akhirnya beliau mati tanpa iman. Dari pengajarannya sekiranya hati manusia tidak mahu kepada kebenaran atau bergerak kepada kebenaran maka selagi itulah tiada petunjuk dari Allah Swt. Persoalannya, adakah kita ini benar-benar dapat merasakan nikmat Iman yang ada didalam hati ini dan adakah kita mengamalkan keseluruhan agama didalam kehidupan kita. Cukup menghairankan apabila berbondong-bondongan manusia di negara barat mencari kebenaran dengan memeluk agama Allah Swt untuk mencari kedamaian dan ketenteraman jiwa tetapi sebaliknya orang-orang melayu ingin keluar agama semata-mata mencari sesuatu agama yang boleh mengikut kehendak nafsunya di dunia ini. Auzubillah.


Apa yang mampu kita lakukan hanyalah perbanyakkan doa supaya diri kita dan ahli keluarga kita kekal dalam Islam dan mati sebagai orang Islam yang Taat kepada perintah Allah Swt. Kaum musryrikin tidak pernah tidur dalam usahanya untuk menyesatkan umat ini. Walaupun agak susah untuk menukarkan agama yang dipegang oleh kaum Melayu Islam, mereka mencuba agar kehidupan kita mirip kepada kehidupan mereka tanpa kita sedari. Sesungguhnya orang yang beriman belum pasti mati dengan imannya dan orang yang tidak beriman belum pasti mati didalam kekafirannya. Oleh itu perbanyakkan doa dan mohon kepada Allah Swt diberi perlindungan dari tipu daya Syaitan Laknattullah. Amin...................................

No comments: